PETALING JAYA – Hari pertama sesi persekolahan 2026 bagi kumpulan B hari ini menyaksikan beberapa sekolah di Lembah Klang beroperasi lancar, namun terdapat aduan mengenai isu kepadatan pelajar yang memerlukan tindakan segera.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, setiap jenis sekolah memainkan peranan penting dalam meningkatkan akses pendidikan untuk murid-murid.
“Secara keseluruhan, pengoperasian di semua sekolah yang saya lawati berjalan lancar. Walaupun begitu, terdapat beberapa perkara berbangkit yang memerlukan perhatian segera.
“Isu sekolah padat misalnya, menuntut penyelesaian tuntas secara jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Fadhlina mengadakan lawatan meninjau suasana hari pertama sesi persekolahan 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Denai Alam, SK Saujana Utama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, SJKC Ladang Regent Elmina dan SJKT Ladang Rasak.
Beliau menambah, bermula semalam, seluruh jajaran Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) digerakkan untuk memantau pengoperasian sesi baharu persekolahan.
“Kami ingin pastikan kelancaran operasi di semua sekolah seluruh negara termasuk inisiatif Bantuan Awal Persekolahan yang memberi manfaat kepada lebih lima juta orang murid,” katanya. – KOSMO! ONLINE














