fbpx
Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Ts. Dr. Noreen Ang Azlan (kiri) memberi tunjuk ajar kepada salah pelajar program farmasi.

IJNUC tawar 20 program berkaitan penjagaan kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kecil, Muhammad Amin Zulkarnain sering ke hospital untuk menemani bapanya mendapatkan rawatan disebabkan masalah kesihatan. Perkara tersebut menyebabkan pemuda berusia 19 tahun itu mula jatuh cinta dengan bidang kesihatan.

“Ketika kecil, saya boleh dikatakan membesar di hospital.

“Bapa saya ada masalah kesihatan, jadi saya kerap mengikutnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Apabila berada di hospital, saya selalu melihat suasana kerja di sana, dan merasakan bidang kesihatan sangat menarik. Ketika itulah, saya mula menanam impian untuk membina kerjaya dalam bidang tersebut,” katanya.

Bagi mengejar cita-cita dalam bidang kesihatan, Muhammad Amin mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC), Kuala Lumpur dalam program Diploma Farmasi.

Katanya, bidang farmasi sesuai dengan minatnya kerana dia suka tentang ubat dan bagaimana ia berfungsi dalam badan untuk merawat penyakit.

“Dalam bidang ini, saya juga belajar tentang cara untuk menyediakan ubat, menentu dan mengira dos ubat untuk pesakit serta banyak lagi.

“Malah, IJNUC menyediakan kemudahan lengkap untuk kami belajar dalam bidang ini,” ujarnya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana dapat menyambung pengajian di salah sebuah institusi terkemuka dalam bidang penjagaan kesihatan, sekali gus membuka laluan lebih cerah kepadanya untuk mengejar cita-cita bergelar seorang ahli farmasi.

Sementara itu, Nur Yasmin Balqis Ali Zaini, 26, memilih menyambung pengajian di IJNUC bagi mengejar cita-citanya sebagai seorang jururawat.

Dia kini sedang mengikuti program pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan di IJNUC.

“Sejujurnya sejak kecil, saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang jururawat.

“Apabila saya tahu IJNUC menawarkan program pengajian ini, saya terus memohonnya,” ujar gadis berasal dari Baling, Kedah itu.

Apa yang lebih menarik, sepanjang mengikuti pengajian selama empat tahun itu, segala perbelanjaan ditaja sepenuhnya oleh pihak IJN.

Namun begitu, bagi mendapat tempat di IJNUC, Nur Yasmin Balqis perlu melalui sesi temu duga terlebih dahulu.

“Prosesnya memang agak ketat kerana ia melibatkan penajaan dan saya perlu melalui sesi temu duga terlebih dahulu. Selepas lulus barulah saya ditawarkan tempat.

“Kelebihan utama penajaan untuk program ini, selepas tamat pengajian, saya berpeluang untuk bekerja terus dengan IJN,” katanya.

Untuk makluman, IJNUC ditubuhkan bagi memenuhi keperluan negara terhadap pendidikan kesihatan yang semakin meningkat ketika ini.

Institusi itu memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu dalam bidang kesihatan dengan lebih mendalam.

Naib Canselor dan Ketua Eksekutif IJNUC, Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus berkata, IJNUC bermula sebagai sebuah pusat latihan pada 2007.

Menurutnya, pada peringkat awal, fokus utama adalah menyediakan latihan profesional kepada warga IJN, khususnya jururawat, pembantu perubatan dan kakitangan lain.

“Pada 2008, pusat latihan ini didaftarkan secara rasmi sebagai Kolej IJN di bawah status Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Maka bermulalah penawaran program-program pendidikan seperti sijil siswazah dalam bidang sains kardiovaskular dan torasik.

Anwar (tengah) bergambar bersama para pelajar IJNUC sewaktu merasmikan IJNUC di IJN Kuala Lumpur pada 4 November tahun lalu.

“Ia adalah sijil profesional, dan dibuka kepada sesiapa sahaja yang bekerja dalam bidang penjagaan kesihatan,” katanya.

Tambah Dr. Durrishah, selepas itu, IJNUC terus berkembang dengan penawaran beberapa bidang untuk program diploma.

Pada 13 Mei tahun lalu, Kolej IJN secara rasmi dinaik taraf sebagai IJNUC selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Malah pada 4 November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir untuk merasmikan IJNUC.

Penubuhan IJNUC adalah langkah penting untuk mengangkat kedudukan institusi itu sebagai pusat pengkajian primer dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.

Ujarnya, IJNUC menggabungkan dua aspek utama pembangunan negara iaitu pendidikan dan kesihatan, selaras dengan agenda negara Madani yang menekankan kepintaran, teknologi baharu serta nilai kemanusiaan.

Kelulusan itu juga membolehkan IJNUC menawarkan program ijazah sarjana muda sendiri yang mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beberapa program ijazah sarjana muda mula ditawarkan di IJNUC pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dr. Durrishah berkata, IJNUC memberi fokus untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang bersifat ‘butik’.

“Butik ini bermakna kita tidak mahu menjadi sebuah universiti komprehensif yang menawarkan pelbagai program pengajian sehingga membuatkan kita mungkin hilang fokus.

“Fokus utama program yang kita tawarkan di IJNUC lebih kepada program-program berkaitan penjagaan kesihatan,” ujarnya.

Ketika ini, IJNUC mempunyai tiga fakulti yang menawarkan 20 program bermula daripada peringkat sijil hinggalah ijazah sarjana muda.

Bagi Fakulti Kejururawatan, program yang ditawarkan merangkumi Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan, Diploma Lanjutan, Diploma Kejururawatan, Program Pos Basik dan beberapa program lain.

Manakala Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu menawarkan program seperti Ijazah Sarjana Muda Teknologi Farmaseutikal, Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular, Diploma Farmasi, Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan serta beberapa program lain.

Bagi Fakulti Sains Pengurusan, program yang ditawarkan merangkumi Diploma Pengurusan Penjagaan Kesihatan, Diploma Psikologi, Diploma Pengurusan Sumber Manusia dan Sarjana Muda Psikologi (pada September ini).

Sementara itu, Dr. Durrishah memaklumkan, bidang pengajian yang paling mendapat sambutan di IJNUC adalah program kejururawatan kerana ia ditaja sepenuhnya.

“Ramai yang memohon untuk menyambung pengajian dalam program kejururawatan.

“Jadi, kita perlu melihat kelayakan terlebih dahulu, sebelum dipanggil untuk temu duga.

“Pelajar yang layak akan ditaja sepenuhnya untuk mengikuti program ini, dan proses pemilihan sangat ketat. Ini kerana pelajar yang ditaja akan diserap bekerja di IJN selepas tamat pengajian,” jelasnya.

Bagi program selain kejururawatan di IJNUC, para pelajar boleh memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyambung pengajian.

Selain itu, IJNUC membantu pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan melalui zakat wakalah yang sedia ada.

Bermula pada tahun lalu, IJNUC turut memperhebatkan hubungan baik dengan pihak luar bagi membolehkan pelajarnya menjalani latihan industri yang terbaik.

Jadi, IJNUC telah melakukan memorandum persefahaman (MoU) atau memorandum perjanjian (MoA) dengan hospital kerajaan dan swasta, serta dengan industri berkaitan.

“Kami telah menjalinkan lebih 20 MoU dan MoA bersama pihak luar untuk membolehkan pelajar kami menjalani latihan industri di luar,” katanya

Sementara itu, Dr. Durrishah berkata, kebolehpasaran graduan merupakan sesuatu yang amat dipentingkan oleh IJNUC.

“Kami gembira kerana kebolehpasaran untuk graduan IJNUC amat baik, kami menyasarkan 100 peratus pencapaian.

“Kami juga amat berbangga apabila ramai graduan terutamanya daripada program diploma farmasi ditawarkan gaji tinggi, sekali gus menandakan kepercayaan industri terhadap IJNUC,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN