fbpx
Fadil pada sidang akhbar berhubung kejadian letupan di sebuah univerisiti swasta di Bukit Damansara, hari ini.

9 cedera dalam letupan di universiti swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan individu cedera dalam satu kejadian letupan di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.

Menurut beliau, mangsa yang terlibat terdiri daripada pelajar, kakitangan pengurusan, pekerja kontraktor serta warga asing yang bekerja sebagai penjaga kafeteria di universiti berkenaan.

“Daripada sembilan mangsa, empat adalah pelajar, dua pekerja kontraktor dari luar yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan, seorang kakitangan pengurusan dan dua lagi warga asing yang bekerja menjaga premis (kafeteria) tersebut.

“Ada mangsa mengalami kecederaan parah manakala selebihnya cedera ringan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Fadil berkata, semua mangsa telah dikejarkan ke beberapa hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau menjelaskan, kejadian berlaku di kawasan penyelenggaraan penghawa dingin di tingkat empat berhampiran kafeteria bangunan berkenaan yang ketika itu belum dipenuhi ramai pelajar kerana sesi pembelajaran belum bermula sepenuhnya.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini melibatkan dua individu teknikal yang berada di lokasi bagi menjalankan kerja pembaikan dan penyelenggaraan.

“Akibat letupan itu, ada mangsa mengalami kecederaan melecur dan terkena serpihan, termasuk runtuhan dinding konkrit di kawasan terbabit,” ujarnya.

Bagaimanapun, Fadil menegaskan punca sebenar letupan masih dalam siasatan dan setakat ini tiada unsur jenayah dikenal pasti.

“Pasukan bomba dan penyelamat telah menjalankan pemeriksaan keselamatan dan mengesahkan kawasan tersebut selamat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN