fbpx
ZULKAFLI (tengah) menyantuni pelajar Tahun Satu SK Raja Perempuan Muzwin sempena Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2026 di Kuala Kangsar hari ini.

252 sekolah kurang murid di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Sebanyak 252 sekolah di Perak dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) susulan bilangan muridnya yang kurang daripada 150 orang.

Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 70 buah sekolah merupakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 91 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), 79 Sekolah Kebangsaan (SK) dan 12 SK (Asli).

Katanya, daerah Kuala Kangsar mencatatkan jumlah SKM tertinggi iaitu sebanyak 33 buah sekolah diikuti Bagan Datuk (32), Batang Padang (30), Perak Tengah (27) serta Larut, Matang dan Selama (26).

“Sekolah yang mempunyai kurang daripada 150 murid dikategorikan sebagai SKM di mana ada sekolah yang beroperasi dengan hanya tujuh murid dan ada yang mempunyai lima murid sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2026 di SK Raja Perempuan Muzwin di Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada SKM ialah faktor sejarah dan geografi selain penghijrahan penduduk.

Katanya, dalam sesetengah kawasan, apabila anak-anak penduduk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, kemasukan murid ke sekolah rendah berkenaan semakin berkurang.

“Selain itu, faktor penghijrahan ibu bapa yang berpindah ke kawasan lain turut memberi kesan terhadap jumlah kemasukan murid. Bukan kerana sekolah itu tidak diminati, sebaliknya jumlah pelajar berkurangan disebabkan perpindahan.

“Di samping itu, terdapat juga murid yang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau asrama sekolah harian, sekali gus menyumbang kepada pengurangan bilangan murid di sekolah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas sesi persekolahan 2026, beliau berkata, seramai 348,594 pelajar telah mendaftar, membabitkan 162,759 pelajar sekolah menengah dan 185,835 murid sekolah rendah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN