KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan seramai 20,540 individu dan membuka 18,352 kes berkaitan pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengikut peruntukan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan ADB (Pelucuthakan Harta) 1988.
Katanya, sebanyak 3,174 kes kategori bekalan direkodkan melibatkan 4,265 tangkapan, manakala permintaan pula membabitkan 4,833 kes dan 5,930 tangkapan. Selain itu, sebanyak 10,345 kes dan tangkapan direkodkan bagi kes positif dadah sepanjang tempoh itu.
“Seramai 498 penagih berulang dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan dan 77 ahli sindiket turut diambil tindakan di bawah ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Selain itu, sitaan harta di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 turut dilaksanakan dengan nilai keseluruhan RM14 juta melibatkan tanah, rumah, kenderaan, wang tunai dan barang kemas.,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, sepanjang 2025, pelbagai jenis dadah seberat 1,085 tan bernilai RM1.105 bilion dirampas.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 24,149 barang kes dadah seberat 2,185 kilogram bernilai RM44 juta melibatkan kes dari 2009 hingga 2024 dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
“Sebanyak 3,527 kertas siasatan melibatkan kes dari 1993 hingga 2016 turut dilupuskan,” ujarnya.
Fadil menegaskan, JSJN Kuala Lumpur akan meneruskan operasi bagi mengekang jenayah dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui hotline JSJN di talian 012-2087222. – KOSMO! ONLINE














