BANGI – Seramai 10,000 individu yang terlibat dalam sektor pelancongan berpeluang mengikuti kursus asas keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) secara percuma serta menerima pasport digital lengkap dengan perlindungan insurans dua tahun.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, ia adalah bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi program Latihan Induksi Keselamatan untuk Industri Pelancongan (SITI) anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Program ini dirangka khusus bagi memastikan tenaga kerja sektor pelancongan mempunyai pengetahuan untuk mencegah insiden, mengawal risiko di tempat kerja serta mematuhi peruntukan undang-undang, terutamanya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat NIOSH di sini, hari ini.
Menurut Ramanan, program SITI terbuka kepada semua individu yang terlibat dalam sektor pelancongan termasuklah pemandu pelancong, pengusaha produk, pekerja dan kontraktor industri.
Katanya, setiap sesi mengambil masa tujuh jam dan dijalankan sama ada dalam talian atau bersemuka di kemudahan NIOSH seluruh negara.
“Peserta yang berjaya menamatkan kursus akan menerima pasport keselamatan digital yang sah selama dua tahun, yang berfungsi sebagai bukti pengambilan kursus serta kad insurans untuk kegunaan dalam dan luar negara.
“Tujuh jam ini tidak menjadikan seseorang pakar, tetapi cukup untuk membekalkan asas yang diperlukan agar peserta dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan betul semasa bekerja,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh berkata, program SITI menumpukan kepada lima komponen utama iaitu pencegahan insiden, undang-undang dan peraturan KKP, hazard dan langkah keselamatan dalam sektor pelancongan, kawalan risiko serta sesi penilaian di penghujung program.
Beliau menambah, sektor pelancongan mempunyai hazard tersendiri yang perlu ditangani melalui latihan sistematik, termasuk pengangkutan, penginapan dan penyediaan makanan.
Pendaftaran untuk program SITI dibuka mulai 25 Januari ini melalui laman rasmu www.niosh.com.my, dan ditawarkan berdasarkan prinsip ‘first come, first serve’. – KOSMO! ONLINE














