SAAT disarankan sahabatnya untuk menerokai Lenggong, Perak, seorang pelancong Australia, Faadat H, membayangkan ia sebuah kampung tradisional tipikal yang sunyi.
Tujuan ke daerah di utara Semenanjung Malaysia itu asalnya hanyalah untuk melihat cara hidup penduduk tempatan yang jauh daripada hiruk-pikuk bandar.
Namun sangkaannya meleset apabila dia tiba ke Lenggong yang merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) itu.
Faadat mendapati Lenggong kaya dengan khazanah alam, sejarah dan komuniti mesra, menjadikan pengalaman kunjungannya begitu bermakna.
Dengan mengambil khidmat anak jati Lenggong, Abdul Nasir Jalaludin atau lebih mesra dipanggil Nash sebagai hos kunjungan, Faadat telah diberikan gambaran mendalam tentang kehidupan di lembah ini ribuan tahun lalu.
“Ia benar-benar menakjubkan.
“Kami juga belajar bahawa Lenggong ialah lokasi penemuan Manusia Perak, selain menerokai gua-gua prasejarah yang sarat nilai sejarah.
“Bukan itu sahaja, Nash turut membawa kami menjamu selera di kampung dan memberi peluang merasai sendiri air tangan penduduk tempatan,” katanya kepada CitaRasa.
Kenyataannya bukan Faadat sahaja pelancong luar yang terpesona dengan keunikan dan cara hidup masyarakat Lenggong yang berakar keturunan Melayu Patani itu.
Bahkan, Lenggong yang terkenal dengan Rumah Tiang 16 itu juga sering dikunjungi pelancong saban waktu.
Dalam edisi 2025, majalah pelancongan berpengaruh, Lonely Planet turut menyenaraikan Lenggong dan Rumah Tiang 16 sebagai destinasi menarik sekali gus meningkatkan permintaan pasaran antarabangsa.
Terima kasih juga kepada Nash yang merupakan seorang hotelier berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri perhotelan antarabangsa yang pulang ke kampung halamannya di Lenggong pada tahun 2017.
Melihat potensi besar pelancongan di kawasan itu, beliau memanfaatkan kepakaran profesionalnya untuk membangunkan pelancongan berasaskan komuniti.
Nash menukar rumah warisan keluarganya, yang dibina oleh bapanya sekitar tahun 1974 dengan seni bina Melayu Perak klasik menjadi penginapan warisan imersif dikenali sebagai Rumah Tiang 16.
Nama Rumah Tiang 16 merujuk kepada jumlah tiang kayu utama yang menyokong struktur rumah tersebut, satu ciri tradisional rumah Melayu pada zaman dahulu.
Sejak 2019, Nash memperkasa penduduk kampung dengan memperkenalkan pakej penginapan yang disertai aktiviti komuniti setempat.

Usaha ini secara tidak langsung mewujudkan rangkaian ekonomi tempatan melibatkan penyediaan makanan, kraf tangan, perkhidmatan bot serta pelbagai perniagaan kecil lain.
Setakat ini, Rumah Tiang 16 menerima liputan meluas dalam media antarabangsa termasuk South China Morning Post dan majalah ‘inflight’ Silk Air.
Antara tetamu ternama yang pernah menggunakan perkhidmatan Nash ialah penulis antarabangsa, Marco Ferrarese dan duta-duta asing yang hadir dalam kapasiti peribadi.
Hasil publisiti, Rumah Tiang 16 menerima kira-kira 20 tetamu setiap bulan, dengan bulan tertentu mencecah sehingga 50 orang.
Anggaran keseluruhan pelancong yang menginap di kediaman tersebut adalah 60 peratus tempatan dan 40 peratus antarabangsa.
Kebanyakan pelawat tempatan pula terdiri daripada bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, manakala pelawat Melayu pula kebanyakannya profesional bandar yang ingin mengenali semula akar budaya mereka.
Seorang pelancong tempatan dari Kuala Lumpur, Lena L, baru-baru ini menginap di rumah warisan itu untuk merasai suasana kampung sebenar.
“Kami ditempatkan di tingkat atas dengan bilik tidur dan ruang tamu dihias barangan lama yang mengingatkan kami kepada zaman kanak-kanak.
“Saya juga teruja dapat menikmati sayur organik liar yang menjadi sebahagian diet masyarakat tempatan, khususnya komuniti Melayu Patani,” katanya.
Menyentuh mengenai daerah itu, Lenggong merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 di bawah kategori warisan arkeologi hasil penemuan peninggalan prasejarah yang membuktikan penempatan manusia terawal di Asia Tenggara.
Lembah Lenggong menempatkan lebih 70 tapak arkeologi termasuk gua prasejarah, tapak bengkel alat batu dan kawasan pengebumian purba.
Penemuan paling signifikan ialah rangka Manusia Perak berusia kira-kira 11,000 tahun, menjadikannya rangka manusia moden tertua yang ditemui di negara ini.
Selain nilai arkeologi, Lenggong turut diiktiraf sebagai Geopark yang kaya dengan landskap semula jadi seperti bukit batu kapur, tasik, sungai, gua serta kepelbagaian flora dan fauna.
Lebih unik, masyarakat asal Lenggong sebenarnya mempunyai akar keturunan Melayu Patani yang menetap di kawasan ini sejak berabad-abad lalu.
Pengaruh budaya Melayu Patani masih jelas dalam amalan tradisi, makanan warisan, bahasa pertuturan, seni bina rumah Melayu serta nilai komuniti yang menekankan kebersamaan dan hubungan dengan alam.
Ujar Nash, antara cabaran utamanya ketika mula membangunkan misinya itu ialah sikap rendah diri masyarakat luar bandar terhadap gaya hidup dan warisan mereka yang dianggap kurang bernilai sebagai produk pelancongan.
“Ramai masyarakat kampung menganggap kehidupan mereka tidak menarik, sedangkan itulah keunikan yang dicari pelawat.
“Walaupun Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat juga masih rendah.
“Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan bagi meyakinkan dan membimbing masyarakat tempatan terlebih dahulu sebelum membawa masuk pelancong dalam kapasiti yang lebih besar,” katanya.
Program pelancongan yang dikelola Nash dimulakan dengan pengenalan falsafah pemakaian sarung yang sarat makna budaya sebelum tetamu lelaki dipakaikan supik tangan sebagai pakaian tradisional lelaki Melayu Patani di Lenggong.
Supik tangan yang diangkat sebagai ikon kraf Lenggong Geopark diusahakan bersama Pak Su Zali yang dikenali sebagai penjaga warisan Lenggong.
Hidangan yang disajikan kepafa pelancong pula merangkumi kebebe, ikan pindang, daun seniar, kemahang, pekasam dan ulam-ulaman kampung yang mencerminkan makanan warisan Melayu Patani dengan sebahagiannya digazetkan sebagai Makanan Warisan Lenggong.
Antara aktiviti pakej Rumah Tiang 16 termasuk lawatan ke gua prasejarah, Bukit Bunuh, Galeri Geopark dan Galeri Arkeologi Perak Man.
Peserta turut menyertai heritage walk di Pekan Lenggong, pengalaman makan imersif di Mak Ani’s dangau, demonstrasi kraf tradisional serta aktiviti bot di Kampung Beng.
Penglibatan generasi kedua semakin ketara apabila anak-anak penggiat tempatan mengambil alih pengurusan tempahan, promosi digital serta mempelajari kemahiran memasak dan kraf tangan.
Perkembangan aktiviti bot di Lenggong kini melibatkan lebih 10 bot persiaran dengan sokongan kerajaan serta kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Ahli Parlimen Lenggong dan agensi seperti Think City.
Harapan Nash ialah usaha ini mencipta kesan berantai termasuk di peringkat sekolah agar generasi muda lebih peka terhadap nilai warisan budaya mereka.
“Impak sosialnya ialah peningkatan kesedaran komuniti tentang kepentingan sejarah dan arkeologi di sini.
“Saya rasa usaha ini perlu dibawa ke sekolah juga kerana sasaran jangka panjang ialah generasi muda. Usaha ini mesti berterusan dan tidak boleh bersifat sementara,” katanya.














