KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menelan hakikat cukup pahit apabila sekadar muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, bekas juara dunia itu tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik terus kempunan untuk merangkul gelaran Jelajah Dunia Super 1000 selepas tujuh percubaan yang dilakukan berakhir dengan naib juara.
Aaron berkata, corak permainan dia dan Wooi Yik dengan gandingan No.1 dunia itu tidak banyak berbeza, namun Won Ho-Seung Jae menampilkan aksi lebih tenang, terutamanya ketika berdepan mata penting.
“Bagi saya, tidak banyak beza (permainan) pun, mungkin kami ketinggalan jauh ketika set penentuan. Mungkin ketika itulah kita ada terkena dengan mereka kerana perlu mengutip mata demi mata.
“Selain itu, mereka juga lebih tenang ketika berada pada mata penting. Itu memang menjadi kelebihan buat Won Ho-Seung Jae pada perlawanan hari ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pada masa sama, dia juga menganggap gandingan juara dunia itu sedang berada pada kemuncak prestasi selepas merangkul 11 kejuaraan musim lalu termasuk kejohanan Jelajah Dunia Akhir. – KOSMO! ONLINE














