KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita No.1 dunia, An Se Young terus mengukuhkan cengkaman selaku antara pemain terhebat sepanjang zaman selepas memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026.
Lebih manis, itu merupakan kejuaraan ketiga berturut-turut buat Se Young pada Terbuka Malaysia memandangkan dia turut memenangi kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu dalam dua edisi terdahulu.
Pemain Korea Selatan itu juga mencipta sensasi apabila sudah meraih 12 gelaran dalam 13 perlawanan akhir sejak tahun lalu dan hanya tewas sekali ketika muncul naib juara Terbuka Korea.
Se Young berkata, dia langsung tidak berputus asa sepanjang perlawanan hari ini, termasuk ketika ketinggalan 14-19 di set kedua sebelum menang 21-15, 24-22 ke atas pemain China, Wang Zhi Yi.

“Saya rasa saya tidak berputus asa pada perlawanan hari ini, itu adalah mentaliti untuk diri sendiri. Saya percaya kepada diri sendiri dan buat sahaja yang terbaik sepanjang perlawanan.
“Saya sentiasa bertemu dengannya (Zhi Yi) dan sentiasa menunjukkan keyakinan ketika bermain. Apabila ada keyakinan, saya lakukan sahaja dan mengikut corak permainan sendiri,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Selaku juara, Se Young membawa pulang hadiah wang tunai AS$101,500 (RM419,490) berserta trofi manakala Zhi Yi berpuas hati dengan AS$49,300 (RM201,809) dan juga pingat.
“Gelaran-gelaran sebelum ini saya cuba lupakan dan berikan sepenuh fokus dalam setiap perlawanan. Harapan saya adalah untuk mengekalkan aksi yang sama, buat masa sekarang saya sangat gembira,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














