KUALA LUMPUR – “Senak perut saya tengok pemandangan ribuan peminat.”
Itu ucapan pembukaan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi.
Siti membuka pentas dengan lagu Purnama Merindui sambil menyanyi di atas kren. Kemudian, disambung pula dengan lagu Dialah Di Hati.
Tambah Siti, kembali membuat persembahan di SNBJ mengimbau semula kenangan sewaktu membuat persembahan ketika Sukan Komanwel 1998 dan Konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour pada tahun 2004.
“Dulu waktu konsert Fantasia Tour, pentasnya di bahagian hujung. Saya masih ingat lagi kecil sahaja pentasnya.
“Tetapi hari ini, saya sediakan pentas yang besar bersama skrin besar. Saya harap semua peminat akan nampak Siti Nurhaliza,” katanya.
Difahamkan, seramai 65,000 peminat memenuhi SNBJ malam ini biarpun pada awalnya hanya 63,000 tiket yang dibuka untuk jualan. – KOSMO! ONLINE














