PETALING JAYA – Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak ke sekolah esok pagi, dinasihatkan supaya menyelesaikan urusan lebih awal dan bukannya dibuat di dalam kereta di hadapan sekolah sehingga menyebabkan kesesakan.
Pesanan itu dimuat naik oleh pengguna TikTok Watie yang mana tindakan sedemikian akan menyebabkan orang lain terpaksa menunggu lama bagi menurunkan anak mereka.
“Esok hari pertama anak-anak bersekolah. Nak bagi pesanan sikit. Waktu nak hantar anak-anak tu, kalau nak bagi pesanan ke, nak peluk cium ke, nak tazkirah ke, nak bagi duit belanja ke, buat sebelum sampai ke sekolah ya.
“Kalau anak setakat dua tiga orang dalam kereta tu, beg tak perlu lah letak dalam bonet kereta. Nak ‘bye bye’ anak tu, duduk diam-diam dalam kereta, turun cermin boleh saja ‘bye bye’ kan.
“Untuk elakkan sesak depan sekolah, anak pergi sekolah saja pun, bukan masuk asrama,” katanya pada hantaran tersebut.
Ia mendapat sokongan ibu bapa lain lebih-lebih lagi ramai yang berdepan masalah sama setiap kali menghantar anak masing-masing ke sekolah.
“Itu belum lagi baca-baca doa atas kepala anak. Itu semua boleh buat sebelum keluar rumah ya,” kata pengguna TikTok Reen.
“Setuju, jangan ‘bersidai’ lama-lama depan pagar sekolah,” kata Aimi Najua.
“Yang dia tiup ubun-ubun anak sekali doa tu, tolong lah buat dekat rumah. Jangan lah buat sesak baca doa depan pagar,” kata seorang pengguna TikTok.
“Kat tempat saya, siap tinggal kereta tengah jalan angkat ‘handbreak’ siap. Hantar anak masuk dalam sekolah, siap boleh sembang. Kereta tinggal tengah jalan macam tu, fuh kesabaran tinggi,” komen Aishah Purple. – KOSMO! ONLINE














