PETALING JAYA – “Lepas bas berpusing, saya ingat nak terbalik,” itu detik cemas dialami Alyaa Shahila Mohd Ramzi, 23, apabila bas ekspres yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Selatan), awal pagi tadi.
Menurut Alyaa, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Raja Melewar, Seremban selepas menghabiskan cuti semester di kampung halamannya di Perlis.
Katanya yang duduk di bahagian atas, dia tersedar pada pukul 5 pagi untuk memasang jam loceng sebelum mendapati bas tersebut dipandu dalam keadaan seolah-olah hilang kawalan.
“Saya lihat bas sekejap ketengah, sekejap ketepi. Macam hilang kawalan. Kemudian saya lelap sekejap. Dalam keadaan separa sedar, pukul 5.09 pagi, hentakan kuat berlaku. Saya nampak bas berpusing, ‘makan’ pembahagi jalan tengah.
“Bila bas dah berhenti, saya cuma fikir jangan terbalik sudahlah sebab saya duduk di bahagian atas. Lepas lima saat bas berhenti, saya tengah kutip kasut, lori pula langgar bas. Masa tu keadaan memang kelam-kabut, saya mampu ucap ‘Allahuakbar’,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Tambah Alyaa, sebaik hentaman berlaku, barang peribadi bertaburan dan ada penumpang tercampak selain terlihat minyak di bahagian kiri bas sudah bocor.
Katanya, keadaan ketika itu boleh digambarkan sangat panik, sehingga dia meninggalkan telefon bimbitnya dan hanya sempat mengambil beg komputer riba sebelum turun ke bawah untuk cuba keluar.
“Keadaan sangat panik, ramai penumpang menjerit, mengucap. Saya orang ketiga yang turun ke bawah sebab nak keluar dari bas.
“Bila turun, terkejut saya tengok pembahagi jalan dah masuk terperosok menembusi bahagian bawah bas sehinggakan kami terpaksa melangkah pembahagi jalan tu untuk keluar pintu bas,” ujarnya.
Menurut Alyaa juga, keadaan bahagian bawah bas boleh digambarkan lebih buruk termasuk penumpang yang cedera parah serta lantai dipenuhi darah.
Bercerita lanjut, Alyaa berkata dalam perjalanan, dia menyedari bas tersebut berulang kali berhenti sebelum kejadian, dengan hentian dikatakan lebih kerap berbanding kebiasaan.
“Sepanjang lima tahun saya berulang-alik, kali ini naik bas, banyak kali berhenti. Biasanya berhenti dua hingga tiga kali sahaja, tapi kali ini macam empat ke limakali. Saya ingat saya seorang yang perasan, tetapi penumpang lain pun berkata perkara sama.
“Saya sebenarnya dah terbayang tragedi pelajar UPSI, sebab selain saya, ada tiga lagi penuntut IPG yang ingin pulang belajar. Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kerana bukan melibatkan satu atau dua nyawa. Tapi 44 nyawa penumpang. Saya masih tak percaya apa yang jadi, masih trauma,” katanya.
Dalam pada itu, menurut ibu Alyaa, Najwa Ahmad, 52, berkata, dia berasa tidak sedap hati dan sukar untuk melelapkan mata pada malam itu sebelum menerima panggilan kira-kira pukul 5.30 pagi dari nombor tidak dikenali.
Katanya, dia terkejut apabila mendapat makluman bahawa bas dinaiki anak keduanya dari empat beradik itu terlibat dalam kemalangan.
“Berderau darah saya, terkejut semua ada. Saya tanya keadaan dia macam mana. Anak maklumkan dia tidak mengalami kecederaan dan berjaya keluar dari bas. Jadi saya bersyukur anak saya selamat,” katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang waris yang enggan dikenali, ibu mertuanya merupakan salah seorang penumpang di bahagian bawah bas berkenaan.
Katanya, ibu mertuanya dalam perjalanan dari Kedah bagi menghadiri majlis perkahwinan saudara sebelum bertolak pulang ke kediaman yang terletak di Melaka.
Setakat ini katanya, ibu mertuanya dijangka perlu menjalani pembedahan keting (tendon) disebabkan kecederaan yang dialami susulan kemalangan tersebut.
“Buat masa ini kami tidak tahu apa perkara sebenar yang berlaku kepada ibu kami, disebabkan dia masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
“Selepas pembedahan kemungkinan kami akan minta pindahkan ke Hospital Melaka disebabkan keluarga semua berada di sini. Pihak keluarga yang di hospital setakat ini tidak dapat masuk lama dan tunggu di luar. Ibu mertua sedang berada dalam zon kuning,” katanya.
Terdahulu, seramai lapan anggota beserta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 5.24 pagi.
Kejadian membabitkan sebuah bas ekspres dan lori seberat tiga tan yang membawa seramai 42 penumpang termasuk dua pemandu bas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata setibanya di lokasi, terdapat lima mangsa tersepit termasuk seorang pemandu lori.
Beliau berkata anggota mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa terakhir berikutan struktur pembahagi jalan menghimpit kaki.
“Mangsa pertama wanita dikeluarkan pada pukul 6.06 diikuti dengan mangsa kedua lelaki diselamatkan pukul 6.08.
“Pada pukul 6.10 mangsa wanita juga dikeluarkan, kemudian pemandu lori dikeluarkan pada pukul 6.15. Mangsa terakhir dikeluarkan pada pukul 8.53 pagi.
“Jumlah keseluruhan mangsa yang dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan adalah 15 orang, empat daripadanya di dalam zon kuning manakala tiga lagi di zon merah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














