GEORGE TOWN – Penang FC semakin menemui rentak sebenar apabila tampil cemerlang membelasah Melaka FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, petang tadi.
Ketua pasukan, Stefano Brundo dan Dylan Wenzel-Halls menjadi watak utama kepada kejayaan kali ini, masing-masing menyumbangkan dua gol sekali gus memastikan kemenangan kedua berturut-turut.
Terdahulu, tuan rumah membuka permainan dengan cemerlang apabila Brundo membuka jaringan pertama menerusi sepakan percuma seawal minit keempat sebelum meledak gol kedua, lima minit kemudian.
Melaka FC yang mendapat sentuhan bekas penolong jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan seakan tidak mampu untuk mendapatkan rentak, sekali lagi melepaskan dua gol dalam tempoh singkat.
Wenzel-Halls membuka akaun jaringannya pada minit ke-11 dan tiga minit selepas itu, bintang dari Australia itu sekali lagi merobek gawang lawan bagi menutup babak pertama dengan kelebihan 4-0.
Walaupun cuba memperbaiki kelemahan dan tingkatkan kualiti permainan di babak kedua, tiada jaringan mampu dihasilkan oleh Melaka FC sebaliknya Penang FC melengkapkan jaringan kelima dan kali ini dihasilkan oleh Faith Obilor pada minit ke-85. – KOSMO! ONLINE














