BANDAR GAZA – Ribuan khemah yang menempatkan keluarga penduduk Palestin di seluruh Semenanjung Gaza rosak atau diterbangkan angin ketika ribut musim sejuk yang kuat melanda wilayah itu, lapor agensi berita Anadolu.
Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Basal berkata, tempat perlindungan khususnya di sepanjang pesisir pantai Gaza musnah di mana khemah-khemah terkoyak atau diterbangkan tiupan angin yang mencecah sehingga 60 kilometer sejam.
Beliau turut mengaitkan krisis itu dengan sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan dan bahan pembinaan semula ke Gaza.
“Ini bukan sekadar krisis berkaitan cuaca. Apa yang kita saksikan adalah akibat langsung daripada halangan terhadap kemasukan bahan binaan dan usaha pembinaan semula (Gaza).
“Ia memaksa orang ramai hidup dalam khemah koyak serta rumah rosak yang tidak selamat, tanpa maruah atau perlindungan,” kata Mahmoud dalam satu kenyataan.
Ribut terbaharu itu bermula Jumaat lalu dan dijangka berterusan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, demikian menurut pakar meteorologi Palestin yang memberi amaran mengenai hujan berterusan dan angin kencang di beberapa kawasan wilayah tersebut.
Mahmoud berkata, banyak keluarga terpaksa mendirikan khemah di sepanjang pantai selepas kawasan bandar yang luas menjadi tidak lagi boleh didiami akibat lebih dua tahun pengeboman Israel, sekali gus menyebabkan tiada alternatif selamat di kawasan pedalaman.
Semasa ribut yang sama berlaku pada akhir Disember tahun lalu, ratusan khemah yang menempatkan keluarga penduduk Gaza di sepanjang pantai Khan Yunis ditenggelami air apabila air laut melimpah ke daratan.
Mahmoud turut memberi amaran mengenai ribuan rumah yang separa musnah dan berisiko runtuh, sambil menyatakan bahawa dinding retak serta struktur lemah menimbulkan ancaman maut, terutamanya semasa tempoh hujan lebat termasuk angin kencang. – AGENSI














