fbpx
Yunnan, China - GAMBAR HIASAN

‘Kalau beza RM300 boleh diterima, ini kena bayar RM3,000’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita tidak berpuas hati apabila dikenakan bayaran pakej percutian ke Yunnan, China lebih mahal RM1,000 seorang berbanding yang lain, walaupun tawaran pakej dan layan diterima didakwa sama untuk semua peserta.

Wanita itu yang juga pakar perubatan sebuah hospital kerajaan mendakwa, beliau menyertai percutian itu dengan dua lagi ahli keluarganya serta membayar RM4,988 untuk setiap seorang, berbanding peserta lain sebanyak RM3,988 seorang.

Menurutnya, percutian ke Yunnan itu bermula 3 hingga 9 Januari lalu dengan seramai 24 peserta dan beliau menyedari terdapat perbezaan harga selepas berbual dengan mereka yang lain.

“Saya ternampak pakej ini daripada Facebook dan WhatsApp pihak agensi bertanya mengenai pakej. Dia bagi harga RM4,988 untuk seorang dan apabila saya tanya tentang diskaun, mereka maklumkan ‘tiada’, kecuali lebih daripada empat orang.

“Itu pun dia bagi diskaun RM50 sahaja. Jadi saya ambil sebab mereka respons cepat dan kita pun percayalah. Kebetulan dalam trip ini, terjumpa dengan dua lagi (rakan) pakar bedah.

“Dari situlah kita mula bertanya (sesama peserta) yang mana mereka bayar RM3,988, sedangkan saya bayar RM4,988 untuk seorang. Saya pergi dengan keluarga tiga orang, jadi RM3,000 (seorang RM1,000) di situ,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Wanita yang enggan dikenali itu mendakwa, turut berkongsi perkara berkenaan di media sosial serta menerima pelbagai maklum balas, selain ada juga yang mengecamnya.

“Ada yang kata saya bukan frequent traveller (pengembara kerap), sedangkan saya mula mengembara sejak 2004. Kalau ada promosi sekali pun, beza tidaklah sampai RM1,000. Kalau kata beza RM200, RM300 boleh diterima lagi, tetapi ini RM3,000 (seorang RM1,000).

“Ini bukan soal wang RM3,000, tapi dalam situasi ini, kami dapat layanan yang sama sepanjang trip berkenaan, cuma berbeza harga RM1,000 seorang berbanding peserta lain,” katanya.

Tambah wanita tersebut, pihak agensi didakwa ada menjelaskan perkara itu kepadanya menerusi satu surat, namun beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan berkenaan.

Susulan itu, beliau juga melaporkan perkara itu kepada pihak polis, Tribunal Tuntutan Pengguna serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan penjelasan menerusi surat daripada pihak agensi, mereka mendakwa, harga jualan pakej pelancongan itu tidak tertakluk kepada mana-mana akta kawalan harga atau akta jualan tertentu.

Ia didakwa ditetapkan berdasarkan kos operasi semasa, komitmen pembekal, kadar pertukaran mata wang serta strategi perniagaan syarikat.

Selain itu, harga pakej yang telah dibayar oleh setiap peserta telah dipersetujui secara sah pada waktu tempahan dibuat, selain tidak wajar untuk membandingkan harga antara peserta kerana setiap tempahan tertakluk kepada terma, masa tempahan dan tawaran yang berbeza.

Situasi itu selari dengan amalan industri, sepertimana pembelian tiket penerbangan yang menggunakan konsep “dynamic pricing”, yang mana pihak syarikat berhak menetapkan harga berbeza mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Pihak syarikat juga berhak untuk menjalankan promosi atau penawaran khas pada peringkat tertentu bagi memastikan bilangan peserta mencapai minimum pax yang diperlukan agar sesuatu trip dapat dijalankan seperti dirancang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN