SINGAPURA – Satu klip video tular memaparkan seekor haiwan mirip kucing menyelinap masuk ke sebuah kedai menjual muffin di Singapura sebelum melarikan diri dengan sebiji pisang, lapor laman berita Stomp kelmarin.
Video TikTok berdurasi 17 saat itu memaparkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) haiwan tersebut dalam kejadian yang berlaku pada 2 Januari lalu di Serangoon.
Pengguna media sosial dengan segera mula membuat spekulasi tentang makhluk yang dirakam itu.
“Seekor tikus gergasi?” tanya seorang netizen.
Seorang lagi menulis: “Adakah itu rakun?”
“Pasti musang!” kata seorang lagi, yang turut menyuarakan kebimbangan mengenai makanan yang dibiarkan tanpa pengawasan di kedai tersebut.
Stomp telah menghubungi kedai itu untuk mendapatkan komen. – AGENSI














