GEORGE TOWN – Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera akibat kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di Jalan Burma di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah hari.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.56 pagi ketika seorang penunggang motosikal berusia 71 tahun dipercayai mengubah laluan secara tiba-tiba dari lorong kiri ke simpang kanan di Lengkok Burma.
”Tindakan itu menyebabkan dua motosikal lain tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut dari belakang,” katanya di sini, malam tadi.
Abdul Rozak berkata, akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal pertama, seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun, maut di tempat kejadian.
”Penunggang motosikal kedua, seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada pukul 1.15 petang,” katanya.
Beliau berkata, penunggang motosikal ketiga seorang wanita berusia 19 tahun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan.
”Bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian kedua-dua mangsa adalah kecederaan pada bahagian kepala,” ujarnya dengan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE














