KUCHING – Sebanyak 26 buah sekolah di Sarawak terjejas selepas laluan masuk ke institusi tersebut dinaiki air akibat banjir selain terdapat sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19 buah sekolah direkodkan di Tatau manakala empat di Selangau dan tiga lagi di Daro.
“Semua sekolah ini tidak dapat beroperasi disebabkan laluan ke sekolah dinaiki air selain bangunan dimasuki air,” katanya.
Sementara itu, Omar berkata lapan buah sekolah rendah turut dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), termasuk Sekolah Kebangsaan Bukit Arip di Selangau selain tujuh sekolah di Serian iaitu SJK(C) Chung Hua Batu 29, SK Krusen, SK Pangkalan Sorah, SK St Peter, SK Tanah Merah, SK Tanah Puteh dan SK Tebakang. – KOSMO! ONLINE














