fbpx
Abdul Muhaimin menunjukkan PATI bersama tekong dan awak-awak bot nelayan yang ditangkap pihaknya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Selangor, Klang. Foto oleh AFIQ RAZALI

Dua malam naik bot, sampai Malaysia kena tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Taktik licik sindiket menyeludup masuk 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan bot nelayan selama dua malam berakhir selepas ditahan pada kedudukan satu batu nautika barat daya muara Sungai Besar, Sabak Bernam, di sini semalam.

Kesemua mereka termasuk tujuh wanita berusia 22 hingga 70 tahun ditangkap pada pukul 1 pagi selepas bot tersebut terkandas ekoran air surut.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, siasatan mendapati kesemua PATI Indonesia itu dipindahkan ke rumah penampungan di Tanjong Balai sebelum dibawa ke tengah laut menggunakan bot kecil.

Katanya, PATI itu seterusnya akan dipindahkan secara runcit dalam bot nelayan di sempadan Malaysia-Indonesia. PATI tersebut berasal dari lombok dan Medan.

“Mereka membayar RM2,000 hingga RM2,500 kepada sindiket untuk datang ke negara ini yang mengambil masa dua malam dengan menaiki bot nelayan pada kelajuan 8 knot. Jarak Tanjong Balai ke Sungai Besar adalah sejauh 60 batu nautika,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut beliau, sindiket mengubah taktik daripada bot laju kepada bot nelayan dengan memanfaatkan peningkatan pekerja asing di sektor perikanan. Sindiket juga menggunakan laluan biasa nelayan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Ketika ditahan, tiga anggota Maritim Malaysia (APMM) berjaya naik ke atas bot, namun tekong bertindak agresif dan enggan menghentikan bot sehingga berlaku pergelutan.

“Tekong juga nekad terjun ke laut bagi melarikan diri namun berjaya ditangkap selain dua awak-awak. Ketiga-tiga mereka merupakan warga Indonesia berusia 35 hingga 59 tahun,” ujarnya.

Siasatan mendapati tekong itu sudah dua bulan bekerja, manakala awak-awak baharu enam hari bertugas dan mereka tidak mempunyai dokumen yang sah.  Pihaknya percaya lokasi pendaratan di jeti nelayan sekitar Sungai Besar dengan wujud rangkaian antara dua sindiket melibatkan Indonesia dan Malaysia.

“Kita juga mengesan pemilik bot berusia 60 tahun yang mempunyai enam bot. Kita akan memanggilnya untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambah Abdul Muhaimin, kesemua PATI, tekong dan bot dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Perikanan 1985.

“Tumpuan kita pada tahun ini adalah (menjejaki) dalang dan ejen sindiket PATI ini, ” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN