PETALING JAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi menyokong usaha pembangunan dan penambahbaikan Zoo Negara, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai institusi pemuliharaan, pendidikan dan warisan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan haiwan, kemudahan awam serta pengalaman pengunjung sentiasa berada pada tahap terbaik.
Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau mengadakan lawatan ke Zoo Negara pagi tadi bagi melihat seekor panda baharu yang baru diterbangkan ke Malaysia, sekali gus menarik perhatian orang ramai, khususnya keluarga dan kanak-kanak.
Menurut beliau, peruntukan itu juga merupakan kesinambungan kepada komitmen yang telah diumumkan kerajaan pada tahun lalu, selaras dengan usaha memelihara Zoo Negara sebagai ruang pendidikan dan riadah untuk generasi masa depan.
“Zoo Negara bukan sekadar tempat rekreasi, tetapi medan pembelajaran tentang khazanah alam dan hidupan liar yang perlu terus dipelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan usaha memartabatkan Zoo Negara memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, pengurusan Zoo Negara, sektor swasta serta masyarakat.
Beliau berharap pendekatan bersepadu itu mampu memastikan tanggungjawab memelihara alam sekitar dan hidupan liar dapat dipikul bersama demi kelestarian jangka panjang.
Zoo Negara kekal sebagai antara destinasi utama pelancongan keluarga di negara ini, selain berperanan penting dalam mendidik kanak-kanak dan masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti.- KOSMO! ONLINE














