SUNGAI PETANI – Sebuah kereta bernombor pendaftaran asing dikesan membuat pengisian petrol RON95 di sebuah stesen minyak, di sini semalam.
Video tular berdurasi satu minit enam saat itu memaparkan seorang pekerja stesen minyak sedang mengisi bahan api ke dalam tangki kereta yang dipandu seorang lelaki warga emas.
Dalam rakaman sama, seorang lelaki kemudian bertindak menegur perbuatan warga emas terbabit dengan memaklumkan bahawa kenderaan berdaftar asing tidak dibenarkan mengisi petrol RON95.
Warga emas berkenaan bagaimanapun mendakwa kereta tersebut milik menantunya.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, KPDN Cawangan Sungai Petani telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak tersebut susulan penularan video itu.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) stesen minyak mendapati video yang ditularkan adalah sahih dan berlaku aktiviti pengisian petrol RON95 oleh pekerja stesen minyak ke dalam tangki kenderaan berpendaftaran asing.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.07 pagi pada hari yang sama semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, pasukan penguat kuasa bertindak menyita resit jualan, rakaman CCTV serta dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Tambahnya, bagi syarikat, hukuman denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM5 juta. – KOSMO! ONLINE














