LONDON – Penduduk sebuah daerah di Britain digemparkan dengan pemandangan langit yang bertukar warna menjadi merah jambu, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di Birmingham, West Midlands malam kelmarin.
Fenomena langit merah jambu itu mencetuskan pelbagai spekulasi dengan sebilangan pengguna media sosial mendakwa ia merupakan pancaran cahaya daripada matahari terbenam.
Ada antara mereka mendakwa fenomena itu adalah aurora atau ‘Northern Lights’.
Bagaimanapun, cahaya itu dilaporkan berasal daripada lampu diod pemancar cahaya (LED) yang dipasang di sebuah stadium bola sepak.
Kelab Bola Sepak Birmingham City menyatakan bahawa lampu LED tersebut dinyalakan untuk membantu pertumbuhan rumput di sepanjang musim sejuk yang gelap.
“Cahaya merah jambu itu berasal daripada lampu LED kami yang membantu rumput untuk cepat tumbuh dan ia bukannya aurora,” tulis hantaran itu. – AGENSI














