PETALING JAYA – Cuaca sejuk luar biasa melanda Kelantan apabila kebanyakan jajahan di negeri itu dijangka merekodkan suhu paling rendah sekitar 19 darjah Celsius bermula Isnin hingga Selasa, sekali gus mencuri perhatian ramai penduduk.
Menurut pemerhatian dan perkongsian penduduk tempatan, keadaan sejuk itu bukan sahaja dirasai pada waktu malam, malah berlarutan hingga awal pagi, menyebabkan sebahagian kawasan mencatat suhu harian sekitar 21 hingga 22 darjah Celsius sepanjang minggu ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, beberapa jajahan termasuk Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh mengalami cuaca dingin yang jarang berlaku, dengan angin sejuk dan suhu rendah ketara terutama pada waktu Subuh.
Lebih mengejutkan, kawasan tanah tinggi Lojing, Gua Musang dilaporkan mencatat suhu di bawah 15 darjah Celsius, menjadikannya antara kawasan paling sejuk di Semenanjung ketika ini.
Seorang pengguna media sosial, Mohd. Azlan Rahim, berkata cuaca sejuk yang dialami sejak beberapa hari lalu adalah antara paling ketara pernah dirasainya.
“Pagi-pagi memang rasa macam berada di Cameron Highlands. Nafas pun berasap, air paip sangat sejuk dan terpaksa pakai jaket tebal,” katanya.
Di media sosial, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman sama dengan ada yang berseloroh Kelantan kini ‘berasa seperti luar negara’, selain memuat naik gambar termometer dan suasana berkabus pada waktu pagi.
Seorang penduduk Kota Bharu, Siti Nabila, berkata cuaca dingin itu memberi kelainan kepada rutin harian.
“Jarang Kelantan rasa sejuk macam ni. Tidur malam pun tak perlu kipas, selimut memang wajib,” katanya.
Difahamkan, fenomena cuaca sejuk tersebut dipercayai dipengaruhi oleh tiupan angin monsun timur laut serta keadaan atmosfera yang lebih stabil, sekali gus menyebabkan penurunan suhu terutama pada awal pagi.
Orang ramai dinasihatkan agar menjaga kesihatan, terutama golongan kanak-kanak dan warga emas, selain mengambil langkah berjaga-jaga terhadap perubahan cuaca yang luar biasa itu. – KOSMO! ONLINE.














