PETALING JAYA – Pelakon jelita, Nadia Brian dan Nedim Nazri dilihat semakin terbuka meluahkan rasa cinta terhadap satu sama lain dalam media sosial.
Menerusi hantaran Nedim dalam Instagram, bintang filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu berkongsi foto berpimpin tangan bersama Nadia dan menulis kapsyen berbaur romantis.
“Mencintai kamu terasa seperti pulang ke rumah, ke tempat yang saya tidak pernah tahu saya rindu,” tulisnya.
Hantaran tersebut mendapat respons manis daripada Nadia dengan ungkapan menyahut dan mengiakan percintaan yang sedang membuak-buak antara mereka.
“Saya juga baby. Saya mencintai kamu,” tulisnya Nadia.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian netizen di mana rata-ratanya mendoakan agar pasangan ini melangkah ke jenjang pelamin.
“Seorang lelaki bahagia, semua turut bahagia semoga cepat-cepat sampai jinjang pelamin,” komen netizen.
Terdahulu hubungan Nadia dan bekas suami Nora Danish itu mula menjadi perhatian ramai selepas Nedim berkongsi foto mereka bersama anak lelakinya, Neyqal dalam Instagram.
Nadia atau nama lengkapnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi sebelum ini pernah berkahwin ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada November 2019, namun bercerai pada April 2021.
Nedim pula pernah berkahwin dengan Nora Danish pada Mac 2017, namun bercerai pada Julai 2024. KOSMO! ONLINE














