MANCHESTER – Manchester City tidak lagi berada dalam zon selesa apabila kunjungan Exeter City ke Stadium Etihad pada pusingan ketiga Piala FA malam ini hadir sebagai peluang terbaik untuk menamatkan permulaan hambar mereka pada tahun 2026.
Tiga keputusan seri berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Sunderland, Chelsea dan Brighton menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola mula ketinggalan dalam perebutan kejuaraan liga.
Keadaan itu menjadikan Piala FA bukan sekadar kejohanan sampingan, sebaliknya pentas penting untuk memulihkan momentum serta mengembalikan aura dominasi yang sekian lama menjadi identiti mereka.
Guardiola sedar pertembungan dengan kelab divisyen ketiga itu bukan sekadar soal kelayakan, tetapi peluang membina semula keyakinan pasukan menghadapi jadual lebih mencabar.
City memiliki reputasi besar selepas mara ke separuh akhir Piala FA dalam lapan daripada sembilan musim terakhir di bawah Guardiola, selain mencatat 19 kemenangan berturut-turut ke atas pasukan liga bawahan sejak 2018.
Rekod itu menjadikan perlawanan tersebut sebagai misi wajib menang, bukan sahaja mengelak kejutan memalukan, malah menghantar mesej jelas bahawa City masih mampu mengganas di semua kejohanan.
Tumpuan turut terarah kepada Erling Haaland yang sudah meledak 150 gol bersama City, ketika jentera serangan pasukan itu terus bergelut menukar penguasaan permainan kepada kemenangan mutlak.
Exeter mungkin hadir tanpa tekanan, namun City sedar sejarah unik Piala FA yang sentiasa menyajikan kejutan pasukan-pasukan elit dimalukan kelab-kelab kerdil. – AGENSI














