PETALING JAYA – Pasukan Terengganu FC meraih kemenangan pertama dibawah kendalian Tengku Hazman Raja Hassan selepas menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) FC 1-0 di Stadium MP Selayang, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, status Sang Penyu selaku pasukan pelawat tidak menghalang pasukan untuk mendominasi sebahagian besar saingan selain berjaya menguji benteng The Cops.
TFC meraih beberapa peluang keemasan tetapi penyudah Akhyar Rashid dan Muhammad Syahmi Zamri pada babak kedua gagal menerjah jaring.
Penantian TFC akhirnya berbaloi apabila Mohamad Baqiuddin Shamsudin muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-85 selepas menerima hantaran Haqimi Azim Rosli.
Kemenangan tersebut menyaksikan TFC kembali berada di landasan kemenangan selepas tewas kepada Sabah FC dan Penang FC sebelum ini.
Sementara itu, di Stadium Negeri, Batu Kawan, skuad Imigresen FC melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) pada aksi petang tadi.

Gol-gol skuad tuan rumah dijaringkan oleh Wilmar Jordan Gil, Eduardo Sosa selain jaringan sendiri pertahanan Kelantan TRW, M. Rakesh. – KOSMO! ONLINE














