SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes pukul melibatkan pemain dalam satu perlawanan persahabatan bola sepak di Padang RRI Sungai Buloh, di sini, Rabu lalu, yang dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek antara pemain.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan diterima kira-kira pukul 4.24 petang, Khamis lalu daripada seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.
Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku pada 7 Januari 2026 sekitar pukul 10.56 malam ketika pengadu bersama pasukan bola sepaknya menyertai satu perlawanan persahabatan.
“Selepas tamat perlawanan, berlaku ejek-mengejek antara pemain kedua-dua pasukan sebelum pengadu dipukul menggunakan tangan oleh seorang pemain pasukan lawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan telah menerima rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hafiz Seleman di talian 016-450 7492.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi tiga minit 14 saat di media sosial memaparkan insiden pergaduhan membabitkan pemain kedua-dua pasukan sejurus tamat perlawanan bola sepak di Sungai Buloh. – KOSMO! ONLINE














