KUALA LUMPUR – “Minta maaf dulu dengan mak, kalau sudah dimaafkan, saya pun okey nak bermaafan.”
Demikian respons pelawak Atu Zero apabila diminta mengulas mengenai kenyataan abangnya, Sharif Zero yang memberitahu sudi untuk menurunkan ego dan meminta maaf secara terbuka bagi menamatkan kemelut mereka adik-beradik ketika ini.
Menurut Atu atau Sharid Kunal Doli Sharif, 33, sehingga kini dia masih menanti kemunculan abangnya yang mendakwa mahu berdamai namun masih tiada sebarang dilakukan Sharif.
“Kalau nak berbaik, datanglah bersemuka, cuma jangan jumpa saya dulu tetapi bertemu dengan mak yang sudah sedia maklum mengenai kemelut kami adik-beradik.
“Minta maaf dengan mak dulu. Kalau dia sudah maafkan, saya pun akan lakukan hal sama, itu sahaja.
“Kita kena saling memaafkan, kalau tidak lambat masuk syurga nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis pengiktirafan produk Bumbu Babah oleh Malaysia Book of Records (MBR), di sini, semalam.
Tambah Atu, dia masih terbuka untuk berdamai dan setiasa menanti kemunculan Sharif.
“Setakat ini belum ada apa-apa tindakan yang dia buat. Mungkin dia sudah menyampaikan hasrat (berbaik), tetapi belum sampai kepada saya.
“Saya sentiasa doa untuk semua dan ramai komen nak lihat kami berbaik namun selagi tiada sebarang tindakan, saya tak berani untuk mengulas lebih lanjut.
“Takut terlebih bercakap, nanti kita sendiri tidak sedar apa yang dituturkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Atu memberitahu dia tidak pernah menyedari kehadiran Sharif yang mendakwa mereka beberapa bertemu di beberapa acara sebelum ini.
“Saya tegur, tetapi dia hilang. Takkan saya hendak tegur dinding pula?
“Saya tidak tahulah kalau ‘hijab’ saya tertutup ketika itu sampai tidak nampak dia,” katanya lagi.
Ujarnya, dia tetap berharap kemelut antara mereka segera berakhir sekaligus dapat mengembalikan kumpulan Zero yang turut dianggotai abang sulungnya, Syaiful Zero.
“Kalau nak berkumpul adik-beradik untuk menyakitkan hati, saya tak rindu.
“Namun kalau rindu sebagai ahli keluarga, itu memang ada. Insya-Allah, sebagai ahli kumpulan Zero, saya berharap ada sinar baharu.
“Orang pun sudah menanti lama nak lihat Zero kembali, kali terakhir sepentas sekitar tahun 2019,” jelasnya.
Terdahulu, kemelut antara mereka didakwa berpunca selepas Sharif mendedahkan bahawa Atu hampir terjerumus dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi temu bual dalam sebuah program audio siar .
Sementara Atu pula mendakwa isu kewangan juga antara salah satu punca hubungan mereka renggang. – KOSMO! ONLINE














