PETALING JAYA – Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) melalui anak syarikatnya, Iconic Medicare Sdn Bhd (Iconic Medicare) telah menandatangani perjanjian penyewaan dengan pengilang kontrak modul optik, Aperion Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Aperion).
Ini adalah untuk penyewaan kilang Batu Kawan milik IMED untuk tempoh minimum enam tahun, dengan pilihan pembaharuan selama empat tahun lagi.
Aperion merupakan rakan kongsi pengilangan kontrak mapan bagi modul optik, menyampaikan penyelesaian pengeluaran berkelajuan tinggi, dioptimumkan oleh AI dan cekapkos kepada jenama modul optik global, penyedia perkhidmatan awan, dan vendor peralatan telekomunikasi.
Terletak di dalam Taman Perindustrian Batu Kawan, sebuah hab perindustrian utama bagi industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), kilang IMED pada asalnya dibangunkan untuk pembuatan sarung tangan.
Berikutan penamatan operasi kilang tersebut pada tahun 2025, Iconic Worldwide memutuskan untuk menyewakan kilang berkenaan bagi mewujudkan aliran pendapatan berulang tambahan untuk Kumpulan.
Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, ,pihaknya berbesar hati mengumumkan penandatanganan perjanjian penyewaan dengan Aperion Technologies, sebuah pengilang kontrak modul optik terkemuka, bagi penyewaan kilang Batu Kawan kami untuk tempoh sehingga sepuluh tahun.

“Kami percaya urus niaga ini akan mempelbagaikan asas hasil kami dan menjana pendapatan sewaan berulang yang stabil, seterusnya menyumbang kepada keuntungan kami.
“Berdasarkan terma perjanjian, kami mengunjurkan hasil sewaan sebanyak RM75.6 juta sepanjang enam tahun akan datang, dan sehingga RM133.68 juta sekiranya Aperion melanjutkan pajakannya selama empat tahun lagi.
“Dengan termeterainya perjanjian ini, kami terus melangkah ke arah prestasi kewangan yang lebih baik dan memberikan pulangan yang kukuh kepada para pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan. -KOSMO! ONLINE














