KUALA NERUS – Seorang ibu tidak tidur semalaman menunggu pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat anak lelakinya, Muhammad Zarif Mohd. Hazahari, 5, yang dikhuatiri lemas di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap di sini.
Siti Hajar Ismail, 42, berkata, dia berharap jasad Muhammad Zarif dapat ditemui segera tidak kira sama ada masih hidup ataupun sebaliknya.
“Sewaktu kejadian anak saya, Muhammad Zarif dan kakaknya serta dua sepupu lelakinya mengikut ibu saudara, Siti Nurul Aina Sahirah Ismail, 31, ambil angin di tepi pantai.
“Tak sangka jadi begini. Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dari rumah di Kampung Batu Rakit berhampiran sebaik mengetahui musibah tersebut,” katanya ketika ditemui di Pantai Sauh di sini hari ini.
Turut menanti di lokasi kejadian, nenek Muhammad Zarif, Khatijah Yusof, 65, yang tidak putus-putus membaca al-Quran bagi memudahkan operasi mencari cucu lelakinya.
Terdahulu, Muhammad Zarif dikhuatiri lemas setelah dibawa arus laut ekoran dipukul ombak besar sewaktu sedang membasuh kaki di Pantai Sauh di sini pada pukul 6.32 petang semalam.
Siti Hajar berkata, Muhammad Zarif sepatutnya memasuki pra sekolah di salah sebuah pusat asuhan tunas islam (Pasti) berhampiran rumah mereka esok. – KOSMO! ONLINE














