BARISAN serangan Terengganu FC (TFC) diperkuat dengan kemasukan penyerang Harimau Muda, Muhammad Haqimi Azim Rosli yang merupakan pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata, bekas pemain Kuala Lumpur City FC tersebut memilih untuk menyertai skuad Sang Penyu bagi baki musim Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026 ini.
“Kami yakin Haqimi Azim mampu memberikan impak segera kepada pasukan bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super dan kempen Piala Malaysia.
“Pemain muda berbakat seperti beliau mempunyai potensi besar untuk berkembang di peringkat tinggi,” katanya di Kuala Terengganu semalam.
Terdahulu, Haqimi Azim telah menyumbang satu gol bagi membantu skuad kebangsaan menewaskan Filipina sekali gus meraih pingat gangsa dalam Sukan SEA 2025 di Thailand baru-baru ini.
Kehadiran pemain muda kelahiran Gombak, Selangor itu juga diharap menjadi penyelesaian ketumpulan penyudah TFC ekoran penyerang utama, Yann Mabella masih dibelenggu kecederaan selain Junior Sam yang kurang menyerlah.
Sheikh Farouk percaya kehadiran Haqimi Azim mampu memberi dimensi baru kepada strategi serangan pasukan dan berharap pengalaman serta semangat juangnya akan memberi nilai tambah buat TFC.
Sementara itu, Haqimi Azim berazam untuk memberikan prestasi terbaik sepanjang tempoh bersama TFC.
“Saya gembira dapat menyertai TFC dan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukan mencapai sasaran musim ini,” katanya.














