MILTON KEYNES – Menyedari bukan tugas mudah menjadi rakan sepasukan Max Verstappen, pelumba baharu Red Bull Racing, Isack Hadjar mahu memberikan sehabis baik bagi mengelak nasib sama menimpanya pada saingan Formula Satu (F1) musim 2026.
Hadjar yang menggantikan Yuki Tsunoda enggan mengikut jejak langkah deretan pelumba terdahulu seperti Pierre Gasly, Alex Albon, Sergio Perez dan Liam Lawson yang ‘tenggelam’ apabila gagal menyaingi kepantasan juara dunia empat kali itu dengan jentera yang sama.
Menurut pelumba muda Perancis itu, dia menyedari cabaran besar menantinya, namun percaya hanya prestasi di litar mampu menyelamatkan dirinya, bukan sekadar kekuatan mental.
“Kuncinya adalah menjadi sangat pantas secara luar biasa, bagus di luar jentera dan bekerjasama rapat dengan pasukan.
“Ia bukan sekadar pendekatan mental semata-mata, tetapi anda perlu selesaikan tugas di litar dengan keputusan positif,” katanya.
Hadjar turut membuktikan kesungguhannya apabila sanggup mengorbankan waktu cuti untuk ‘berkampung’ di ibu pejabat pasukan di Milton Keynes sepanjang Januari dan Februari ini bagi menjalani latihan simulator intensif.
“Saya boleh sahaja bercuti lebih lama, tapi apa gunanya? Jentera 2026 belum siap, jadi simulator adalah tempat saya membuat perbezaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hadjar mengakui hubungannya dengan Verstappen berada pada tahap baik, malah menyifatkan pelumba berusia 28 tahun itu sangat terbuka berkongsi ilmu teknikal setiap kali diajukan soalan. – AGENSI














