KUALA LUMPUR – Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi membuka tirai 2026 dengan langkah cemerlang apabila memenangi pingat emas acara 60 meter (m) pada Kejohanan Jemputan Dalam Dewan UAB Blazer Invite di Alabama semalam.
Pada aksi final itu, pemegang rekod kebangsaan acara 100m lelaki kebangsaan itu mempamerkan larian bertenaga apabila melakukan catatan masa 6.60 saat (s) menewaskan Omari Lewis (6.66s) dari Trinidad and Tobago.
Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik Amerika Syarikat (AS), Nikoby Jahnson yang berpuas hati menerusi catatan masa 6.74s.
Azeem menerusi satu hantaran di laman X hari ini, dia menganggap kemenangan itu sebagai satu permulaan, sekali gus memberi gambaran lebih banyak kejayaan akan dicapai selepas ini.
“Prestasi hanya akan meningkat bermula dari sini,” tulis Azeem menerusi satu hantaran yang dimuat naik.
Kemenangan itu terus mengukuhkan status Azeem sebagai jaguh pecut tanah air, terutamanya dalam acara 60m selepas turut mencatat rekod kebangsaan 6.56s di Texas tahun lalu.
Permulaan baik bagi saingan 2026 pastinya memberikan kepercayaan baharu buat Azeem dalam misinya memapamerkan aksi terbaik pada temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun bermula 19 September hingga 4 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE














