PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur yang dipercayai milik isteri kedua kepada seorang bekas pegawai tertinggi Tentera Darat (PTD).
Menurut sumber, serbuan yang dijalankan pada pagi tadi itu menemukan dua buah bagasi yang dipercayai digunakan bagi menyimpan barangan mewah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa kira-kira RM2 juta,” katanya.
Tambah sumber itu, SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat, dengan nilai dianggarkan sekitar RM225,000.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan penggeledahan dan sitaan berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan SPRM menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, jongkong emas serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi bernilai keseluruhan kira-kira RM6.9 juta susulan siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan projek Tentera Darat Malaysia.
Menurut sumber, wang tunai yang disita melibatkan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$), Euro, Pound Sterling, Yen Jepun dan Riyal Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE














