PETALING JAYA – Seramai 20 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didapati terlibat secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, perkara itu dikesan menerusi siasatan awal yang dilaksanakan oleh pihaknya.
Beliau berkata, TUDM akan memastikan pelaku dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan Perundangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Perlu ditegaskan, budaya tidak sihat tersebut bukanlah suatu amalan bagi TUDM.
“Pihak TUDM memandang serius sebarang perlanggaran terhadap Perintah, Direktif dan Peraturan serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata, pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata pihaknya memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan dan aktiviti tidak bermoral yang dilakukan dalam kem tentera seperti tular di media sosial.- KOSMO! ONLINE














