fbpx
AKSI pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun ketika menentang pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Wei Chong-Kai Wun buntu benam beregu No.1 dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No. 1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae membuktikan mereka masih menjadi ‘tembok kebal’ yang sukar diruntuhkan buat pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Malaysia 2026, hari ini.

Pasangan negara yang berada di ranking kelima dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan juara dunia tersebut apabila tumpas straight set 17-21, 14-21 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 41 minit di Axiata Arena.

Kekalahan itu bukan sahaja menyingkirkan Wei Chong-Kai Wun malah melanjutkan badi kekalahan kepada 6-0, menjadikan gandingan Korea itu sebagai beregu yang masih belum mampu mereka tembusi.

Kai Wun mengakui mereka gagal mengekalkan momentum terbaik selepas gandingan Korea itu bijak mengubah strategi permainan untuk melakar kemenangan straight set.

“Pada awalnya mereka mengikut rentak laju kami. Tetapi pada penghujungnya, mereka lebih berani mengubah permainan, mungkin dengan memperlahankan rentak dan bermain lebih bertahan.

“Kami pula ada sedikit keraguan untuk mendapatkan mata dan akhirnya melakukan terlalu banyak kesilapan sendiri,” katanya.

Pada aksi suku akhir itu, beregu negara itu tetap mempamerkan semangat juang tinggi apabila memberi tentangan sengit dalam kedua-dua set, khususnya pada set pertama yang menyaksikan mereka bangkit mengikat kedudukan 15-15 sebelum mendahului 17-15.

Bagaimanapun, gandingan negara itu gagal menyekat kebangkitan lawan selepas menutup perlawanan itu 21-17.

Pada set kedua yang mengambil masa 22 minit, Kim Won Ho-Seo Seung Jae terus mengawal permainan dengan taktikal yang lebih kemas, menyebabkan pasangan negara gagal mencari jalan untuk bangkit.

Sementara itu, Wai Chong menegaskan, walaupun rekod pertemuan tidak memihak kepada mereka, namun perkara paling penting mereka memberikan sehabis baik pada setiap set perlawanan.

“Setiap kali menentang mereka, kami sebenarnya ada peluang. Persoalannya adalah bagaimana kami mahu memanfaatkan peluang itu. Saya rasa selepas mata ke-11 atau ke-15, rentak mereka berubah dan kami pula yang sukar untuk mengejar,” jelasnya.

Selepas ini, Wei Chong-Kai Wun akan mengalihkan fokus mereka kepada cabaran seterusnya di Terbuka India. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN