BURNLEY – Manchester United terus kempunan untuk mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas seri 2-2 menentang kelab kedua tercorot, Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Turf Moor awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas Burnley meraih gol menerusi Jaidon Anthony dan jaringan sendiri Ayden Heaven, manakala dua gol United diledak oleh Benjamin Sesko.
Pengurus sementara United, Darren Fletcher meluahkan rasa kecewa atas keputusan itu kerana menganggap The Red Devils menampilkan aksi lebih baik selain mencipta banyak peluang menjaringkan gol.
“Bagi saya, keputusan seri ini sangat mengecewakan. Anda semua boleh lihat bagaimana United bermain malam ini (awal pagi semalam), kami menguasai permainan selain mencipta deretan peluang sepanjang perlawanan.
“Kami melakukan 30 percubaan selain ada satu gol yang dibatalkan. Kami sudah lakukan yang terbaik untuk membawa pulang kemenangan tetapi tuah tidak memihak United,” kata pengganti kepada bekas pengurus, Ruben Amorim yang melepaskan jawatannya baru-baru ini.
Sementara itu, beliau turut menyuarakan harapan agar Sesko mendapat keyakinan baharu menerusi dua gol yang dilakukan bagi membantu United memperbaiki kedudukan dalam saingan EPL.
“Saya sangat gembira untuk Sesko apabila dia berjaya menjaringkan dua gol. Dia hanya perlu percayakan diri sendiri setiap kali turun beraksi dan saya yakin dia akan kembali ke prestasi terbaik,” ujar Fletcher.
Selepas 21 perlawanan, United ketika ini menduduki tangga ketujuh menerusi 32 mata, hanya satu mata di belakang Brentford yang melonjak ke tangga kelima hasil kemenangan 3-0 ke atas Sunderland awal pagi semalam. – AGENSI














