PONTIAN – Empat rakan termasuk dua wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, awal tahun ini.
Tertuduh, Tan Jin Xiang dan Koh Wee Han, masing-masing berusia 34 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurhafiza Haron namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Manakala tertuduh warga Vietnam, Nguyen Thi Ngoc Bich, 32 dan Nguyen Thanh Ngoc, 36, tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati bersama-sama mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kesar 7,787 gram dan kanabis dengan anggaran berat kasar 2,569.4 gram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Indah 7, Taman Indah Jalan Parit Mesjid di sini kira-kira pukul 12.10 pagi, 1 Januari lalu.
Dalam prosiding sama, kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan memiliki dadah jenis nimetazepam dengan anggaran berat kasar 25.28 gram dan 24.86 gram dadah jenis ketamin di lokasi dan masa sama.
Kedua-dua tertuduh warga Vietnam turut didakwa memberikan dadah berbahaya jenis ketamin ke dalam tubuh badannya sendiri.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, kira-kira pukul 6.10 pagi, tarikh yang sama.
Mahkamah menetapkan 10 Mac depan untuk pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa Vietnam, serahan dokumen dan laporan kimia serta patologi.-KOSMO! ONLINE














