PETALING JAYA – Pemilihan pakaian ke mahkamah ditegur netizen, bekas isteri penyanyi Nubhan, Dr, Afifah Hidayah menjelaskan hanya menyarung baju sedia ada disebabkan banyak barangnya masih di dalam kotak.
Pemilik nama lengkap Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 33, itu berkata, dia hanya fokus terhadap kes sulh di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan sehingga tidak sempat memikirkan hal lain.
“Serius saya tak perasan. Di sini saya nak minta maaf banyak-banyak, pakai sekadarnya sahaja. Tak boleh nak pilih-pilih warna baju.
“Fikiran saya sebenarnya tak berapa tenang, sebab sibuk sangat buat persediaan rapi untuk kes sulh tadi (semalam).
“Takut ada perkara penting yang terlepas pandang. Banyak lagi kotak pakaian belum dibuka dan dikemas,” katanya dalam hantaran di Threads.
Semalam, Dr. Afifah yang ditemani ibunya, Dr. Zailah Zainudin ke mahkamah bagi mengikuti prosiding kes sulh atau tuntutan harta sepencarian dengan bekas suami.
Begitupun, penyanyi terbabit tidak hadir yang hanya diketahui peguam wanita itu, Kartini Abd Latiff, semasa tiba di mahkamah.
Video wawancara dengan media di luar kamar mahkamah kemudian tular apabila seorang netizen menegur benang bajunya yang tercarik pada bahagian lengan, sekali gus mendakwa penampilannya kali ini tidak seperti biasa seolah-olah tidak bersiap.
Sebelum ini, bekas suaminya didakwa mengeluarkan kesemua barangan miliknya dari kediaman mereka di Senawang dan dipindahkan ke rumah ibu bapa doktor gigi terbabit.
Terdahulu, rumah tangga yang dibina dengan Nubhan berakhir pada 2 Disember tahun lalu dengan talak dua selepas 10 tahun hidup bersama.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille, 4. – KOSMO! ONLINE














