KUALA LUMPUR – Niat seorang wanita untuk mempelajari kemahiran memasak bertukar mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud sehingga mengalami kerugian kira-kira RM300,000.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai, Madam Khoo, 39, berasal dari Selangor, berkata kejadian bermula pada penghujung September 2025 apabila dia terlihat satu iklan berkaitan masakan di Facebook.
Menurutnya, iklan tersebut menawarkan perkongsian ilmu memasak dan peluang menjana pendapatan sampingan, menyebabkan dia tertarik untuk menekan pautan WhatsApp yang disertakan.
“Selepas menekan pautan itu, saya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp bernama ‘Daily Taste Diary’ yang mempunyai kira-kira 20 ahli,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Madam Khoo berkata, kumpulan berkenaan aktif berkongsi pelbagai kandungan berkaitan teknik dan kaedah memasak, selain mendakwa ia diwujudkan bagi membantu suri rumah menambah pendapatan dengan menjual makanan kepada jiran atau orang ramai.
Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, pentadbir kumpulan mula memperkenalkan satu projek pelaburan yang kononnya mampu memberikan pulangan lumayan.
Menurutnya, ahli yang berminat diminta menghubungi pentadbir secara peribadi sebelum seorang pembantu kumpulan menghubunginya untuk memujuk menyertai pelaburan tersebut.
“Projek itu diperkenalkan sebagai dikendalikan oleh sebuah syarikat menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membeli tiket penerbangan murah dan menjual semula pada harga lebih tinggi,” ujarnya.
Madam Khoo berkata, pelbagai tangkap layar kejayaan dan keuntungan ahli lain turut dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp berkenaan, sekali gus menyakinkannya bahawa pelaburan itu sah.
Percaya dengan janji tersebut, dia telah membuat beberapa transaksi pemindahan wang berjumlah keseluruhan RM300,000 antara 1 hingga 12 November lalu.
Namun, katanya, masalah mula timbul apabila dia cuba mengendalikan platform pelaburan berkenaan dan berdepan pelbagai gangguan teknikal.
“Saya dimaklumkan individu bertanggungjawab bercuti selama dua hari. Saya cuba hubungi ahli kumpulan lain, tetapi tiada seorang pun dapat dihubungi,” jelasnya.
Menurutnya, selepas kumpulan itu kembali aktif, individu yang bertanggungjawab itu memberi panduan baharu namun mendakwa berlaku ralat tambahan yang memerlukan bayaran lanjut bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Menyedari dirinya telah ditipu, Madam Khoo bertindak menyekat semua kenalan terlibat, namun masih menerima panggilan daripada pelbagai nombor tidak dikenali termasuk nombor luar negara.
Akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM300,000 dan telah membuat laporan polis pada 23 November lalu bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














