RABAT – Ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui mengakui tekanan semakin dirasai dalam misi memburu gelaran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pertama sejak 1976, menjelang aksi suku akhir menentang Cameroon, awal pagi esok.
Menurut Regragui, prestasi semasa Atlas Lions termasuk sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya semua pemain perlu bekerja keras untuk memburu slot separuh akhir.
Regragui berkata, edisi kali ini adalah yang terbaik untuk menamatkan penantian selama 50 tahun memandangkan status pasukan selaku tuan rumah.
“Saya anggap tekanan kini dirasai pasukan kerana ramai menganggap jika kita tidak menang AFCON, kempen kali ini dianggap gagal. Saya harap pemain sedar harapan tinggi yang diberikan untuk negara ini menamatkan penantian panjang.
“Ini adalah tanggungjawab besar kerana ia bukan sahaja dipikul oleh saya sebagai jurulatih tetapi oleh semua pemain kerana kita terdesak untuk bergelar juara benua Afrika sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, pengendali Cameroon, David Pagou percaya Maghribi adalah pilihan utama untuk mara ke separuh akhir, namun menegaskan bahawa pasukannya tetap memiliki kekuatan tersendiri untuk melakar kejutan.
“Jelas Maghribi adalah pasukan pilihan kerana mereka adalah tuan rumah. Namun, saya percaya situasi itu akan memberikan kita kekuatan untuk menggandakan usaha melakar kejayaan,” katanya. – AGENSI














