SKUAD Kuala Lumpur City FC (KL City) terdesak untuk meneruskan momentum cemerlang dalam usaha memburu status No. 2 Liga Super musim ini dengan melakar kemenangan pada aksi bertemu Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.
Pengendali KL City, Risto Vidakovic mengakui pasukannya berdepat kesukaran untuk kekal konsisten kerana jadual yang diharungi ketika ini cukup padat.
Kata Vidakovic, kemenangan skuad Warga Kota ketika menewaskan Imigresen FC 4-2 minggu lalu dilihat mampu menaikkan motivasi pasukan dalam misi membawa pulang tiga mata berharga.
“Pergi ke Sabah dengan hanya beberapa hari persiapan yang saya anggap cukup singkat. Namun, saya percaya pemain dapat pulih sepenuhnya daripada aksi yang sukar sebelum ini.
“Jika kita bermain dengan adanya sasaran, tekanan sudah tentu bertambah tetapi pasukan masih perlu menang.
“Dalam masa sama, bukan mudah untuk beraksi dalam tekanan kerana pemain boleh lakukan kesilapan. Ini adalah perkara yang normal tetapi apa yang penting pemain perlu berikan tentangan sengit ke atas Sabah nanti,” katanya.
Sementara itu, Vidakovic mengakui pasukannya boleh dianggap mencipta sejarah baharu jika berjaya menamatkan saingan musim ini di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya rasa motivasi kini memihak kepada kami dan pasukan semakin hampir untuk mencipta sejarah. Saya harap pemain terus berjuang hingga ke penghujung.” katanya.














