fbpx
Tempat kejadian yang dilaporkan media pada November 2020 lalu.

Lelaki Nigeria campak cucu tiri dihukum gantung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nigeria yang bertindak mencampak cucu tiri lelakinya dari tingkat tiga di sebuah pangsapuri di Setapak enam tahun lalu sehingga meninggal dunia, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim K.Muniandy menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh Ibekwe Emeka Augustine,48, bersalah atas pertuduhan membunuh kanak-kanak itu selain pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkui keraguan munasabah.

“Mereka (mangsa) semua trauma dengan keseluruhan kejadian dan terpaksa melarikan diri dari rumah sebelum apa-apa yang lebih mengerikan menimpa mereka.

“Kemudian mereka mendapati cucu (si mati) itu mati di atas tanah ketika mangsa dicampak tanpa belas kasihan oleh tertuduh yang kemudiannya cuba membunuh diri,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Ibekwe didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian cucu tirinya yang berusia empat tahun (ketika kejadian) sebuah unit pangsapuri di Setapak di sini antara pukul 7.45 pagi hingga 8.15 pagi pada 29 November 2020.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun.

Sekiranya hukuman penjara dikenakan, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Dalam prosiding sama selain pertuduhan membunuh, Ibekwe turut dihukum penjara selama 14 tahun secara serentak selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan iaitu cuba membunuh anak lelaki kandungnya, menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, cubaan bunuh diri dan melakukan serangan seksual dengan anak tiri perempuan pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Untuk rekod, bagi pertuduhan cuba membunuh anak lelaki kandungnya berusia tujuh tahun (ketika kejadian) tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Pertuduhan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas isterinya yang berusia 48 tahun (ketika kejadian) pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Dalam pada itu, untuk pertuduhan cubaan bunuh diri, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara bagi pertuduhan melakukan serangan seksual dengan anak tiri perempuannya yang berusia 25 tahun (ketika kejadian) tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir dalam hujahan pemberatannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum mengambil kira faktor kesemua kesalahan yang dilakukan tertuduh berpunca daripada ‘self induced’ iaitu pengambilan dadah yang berpanjangan sebelum ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI