PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan komitmen untuk mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun depan ekoran rungutan ibu bapa berhubung pemberian bantuan yang diterima pada minggu pertama sesi persekolahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ada juga rungutan yang diterima pihaknya berhubung perkara berkenaan.
“Kebetulan tahun ini baru memulakan sesi persekolahan pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang kita terima. Saya ingat mulai tahun hadapan akan terus perbaiki dan saranan itu kita ambil secara serius.
“Maknanya ia diberikan lebih awal supaya persiapan boleh dilakukan lebih awal,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Amanat Tahun 2026, di sini tadi.
BAP merupakan bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 diberikan kepada 5.2 juta murid bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Dalam pada itu, Fadhlina turut meminta ibu bapa untuk meluangkan masa mengambil BAP di sekolah dan berjumpa guru bagi mendapatkan laporan serta saranan berkaitan perkembangan akademik dan sahsiah anak.
“Saya harap ibu bapa ambil saranan RM150 ini untuk keperluan sekolah dan datang ke sekolah ambil bantuan serta berjumpa dengan guru untuk mendengar laporan dan juga saranan mengenai anak-anak kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE














