GEORGE TOWN – Kekangan kewangan antara faktor utama yang mempengaruhi daya tumpuan pasukan bola sepak Pulau Pinang dalam kancah Liga Super sekali gus memberi cabaran besar kepada usaha meningkatkan prestasi pasukan secara konsisten.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, dalam era bola sepak moden, kekuatan kewangan memainkan peranan penting bagi membolehkan sesebuah pasukan mendapatkan khidmat pemain berkualiti serta membina skuad yang lebih kompetitif.
”Kita tidak boleh menafikan bahawa faktor kewangan adalah sangat penting dalam pembentukan sesebuah pasukan. Dengan bajet yang lebih besar, sudah tentu lebih mudah untuk mendapatkan pemain berkualiti,” katanya dalam sidang akhbar mengenai komitmen kerajaan negeri Pulau Pinang dalam memajukan dan menyokong pembangunan bola sepak negeri di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Penang FC tetap berusaha memanfaatkan peruntukan yang ada sebaik mungkin bagi meningkatkan prestasi pasukan.
“Apa juga bajet yang diperuntukkan, kita akan gunakan sebaik mungkin untuk terus memperbaiki prestasi pasukan,” katanya.
Daniel berkata, dia menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan skuad Penang FC sambil menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Terengganu FC baru-baru ini sebagai bukti pasukan memiliki potensi walaupun berdepan pasukan yang mempunyai pelaburan jauh lebih besar.
Dalam perkembangan berkaitan, Daniel berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang terus komited menyokong pembangunan bola sepak akar umbi apabila menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sejak September 2024, selain meluluskan pelupusan tunggakan sewaan stadium berjumlah RM127,168.50. -KOSMO! ONLINE














