GUA MUSANG – Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini mampu menarik nafas lega apabila laluan berhampiran Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3D berhampiran Kampung Lepan Jaya yang rosak sudah siap dibaiki.
Jalan tersebut baru-baru ini tular di media sosial apabila ratusan pengguna jalan raya yang ingin pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur terkandas selama lebih empat jam pada cuti hujung minggu lalu.
Seorang pengguna jalan, Mohd. Othman Ali, 60, berkata, aliran trafik lancar di kawasan jalan Kampung Lepan Jaya di sini hari ini lancar selepas kerja penurapan jalan dilakukan.
Katanya, sebelum ini, pengguna perlu memperlahankan kenderaan di kawasan tersebut kerana jalan rosak sehingga menyebabkan kesesakan teruk.
“Alhamdulillah, laluan kembali lancar apabila struktur jalan sudah baik berbanding sebelum ini. Jalan ini merupakan salah satu punca kesesakan sejak dua minggu lalu kerana pengguna perlu memandu secara perlahan dan berhati-hati kerana jalan rosak,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan, Azhar Salleh, 59, berkata, dia bersyukur apabila laluan utama Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Kampung Lepan Jaya selesai diselenggara sebelum berakhirnya cuti penggal sekolah.
Katanya, dia sangat menghargai tindakan sewajarnya yang dilakukan pihak berwajib bagi memastikan keselesaan pengguna.
“Kita sememangnya mengharapkan pihak berwajib memastikan laluan diselenggara dengan baik kerana jalan itu membahayakan kenderaan yang lalu lalang.
“Aliran trafik berjalan dengan lancar dan tiada kesesakan, namun jalan sementara LTU pakej 3BC berhampiran Taman Wangi masih belum dibaiki. Kita mengharapkan tindakan sama dapat dilakukan seperti jalan berhampiran Kampung Lepan Jaya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, jalan Gua Musang-Kuala Lipis di laluan utama berhampiran Kampung Lepan Jaya yang rosak selesai dibaik pulih hari ini.
Katanya, kerja-kerja tersebut dimulakan kira-kira pukul 2 pagi dan selesai sepenuhnya pada 6 pagi sebelum dibuka kepada semua jenis kenderaan dari kedua-dua arah.- KOSMO! ONLINE














