REMBAU – Hasrat seorang gadis berusia 22 tahun yang menjadi tulang belakang keluarga untuk menduduki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rembau bakal terlaksana tidak lama lagi.
Ini selepas kisah Noor Asikin Mohd. Yazid untuk memiliki kediaman PPR bagi memudahkannya menjaga ibu yang sakit dan abang orang kurang upaya (OKU) disiarkan Kosmo! Ahad pada 4 Januari lalu mendapat perhatian pihak berkaitan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu yang membaca kisah tiga beranak itu mengambil inisiatif turun padang melawat mereka di Pedas di sini kelmarin.Katanya, beliau melakukan intervensi selama dua hari bagi melengkapkan dokumen permohonan Noor Asikin untuk memiliki kediaman PPR tersebut.
“Permohonan Noor Asikin berada dalam status layak dipertimbang dan sedang dalam proses. Berdasarkan siasatan keluarga ini layak menduduki PPR.
“Noor Asikin membuat permohonan pada Julai 2025, tetapi beberapa dokumen tidak lengkap, jadi kita minta untuk lengkapkan. Ini adalah prosedur biasa,” katanya ketika ditemui.
Sempena lawatan yang turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Keselamatan) KPKT, Zulkeflee Sulaiman itu, beliau turut menyampaikan bantuan tunai dan barangan dapur.

Sementara itu, Noor Asikin bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana bantuan tersebut membolehkannya menyediakan kediaman yang selesa buat keluarga selepas lebih 20 tahun menduduki rumah kedai uzur dan hampir runtuh.
“Saya dimaklumkan dalam dua bulan lagi kami boleh berpindah ke PPR. Ini semua untuk kesenangan emak dan abang. Mungkin Aidilfitri nanti kami dapat sambut di rumah yang selesa, ada jiran dan sudah tidak sunyi lagi,” ujarnya.
Katanya, dia mengetahui mengenai kemudahan kediaman PPR Rembau daripada ketua kampung, penduduk setempat dan ibu saudara.
PPR Rembau menawarkan 452 buah kediaman dengan fasa pertama sudah mula diisi membabitkan 151 buah, manakala bakinya sedang dipertimbangkan permohonan.
Sebelum ini, Kosmo! Ahad melaporkan kisah Noor Asikin yang menjaga abang OKU, Shahrizam, 31, yang terlantar sejak 18 tahun lalu akibat kemalangan dan ibu yang menghidap sakit kronik merayu agar pemohonan untuk memiliki kediaman PPR yang ditolak sebelum ini dapat diluluskan.
Menurut gadis itu, rumah kedai yang disewa keluarganya lebih 20 tahun lalu sudah terlalu usang, malah bahagian dapur runtuh akibat mendapan tanah sehingga urusan memasak terpaksa dilakukan di luar rumah.
Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam jurusan bakeri di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Alor Gajah, Melaka itu sudah berusaha mencari kediaman bersesuaian, namun kadar sewa rumah setingkat di daerah ini melebihi RM700 sebulan.
Katanya, kediaman bertingkat tidak sesuai memandangkan dia perlu menguruskan abang terutama apabila perlu dibawa ke hospital selain bayaran bulanan PPR yang rendah iaitu sekitar RM250 bersesuaian dengan gajinya sebagai pekerja kedai makan. -KOSMO! ONLINE














