KUALA LUMPUR – Kegagalan mencipta peluang untuk melakukan serangan pada set penentuan menjadi punca utama beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa akur tersingkir di peringkat suku akhir, hari ini.
Dalam aksi sengit yang memakan masa 67 minit itu, pasangan negara tumpas kepada gandingan berpengalaman dari Hong Kong yang juga ranking kelapan dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet menerusi keputusan 17-21, 21-17, 10-21.
Tang Jie-Ee Wei bermula agak perlahan apabila tewas set pertama 17-21 dalam tempoh 21 minit.
Bagaimanapun, sorakan padu penyokong membangkitkan semangat mereka untuk kembali memperkemaskan permainan pada set kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-17 selepas bertarung selama 26 minit.
Kebangkitan itu gagal diteruskan pada set ketiga apabila mereka membenarkan lawan menguasai gelanggang sebelum tewas mudah 10-21.
Tang Jie mengakui kesukaran mendapatkan posisi serangan pada awal set ketiga menyebabkan jurang mata menjadi terlalu besar untuk dikejar.
“Pada permulaan set penentuan, saya tidak dapat menjadikan situasi memihak kepada kami untuk melakukan serangan.
“Ini menyebabkan jurang mata menjadi agak jauh selepas 11 mata pertama. Ketika itu saya cuba mengubah strategi, namun lawan lebih pantas membaca permainan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, Ee Wei memohon maaf kepada para peminat yang hadir membanjiri stadium kerana tidak dapat menghadiahkan kemenangan buat negara.
“Sudah tentu kami kecewa, tetapi inilah sukan. Ada menang, ada kalah. Tetapi untuk perlawanan hari ini, kami perlu kaji semula kenapa kami kalah.
“Terima kasih kepada penonton yang hadir pada hari ini, saya sangat menghargai mereka semua. Dari hari pertama, stadium penuh. Saya tak tahu nak cakap apa, cuma mungkin minta maaf kepada mereka yang datang menyokong kami tetapi kami tidak dapat memenangi perlawanan ini. Kami benar-benar perlu memikirkan tentang perkara ini,” kataya. -KOSMO! ONLINE














