SEREMBAN – Enam lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas tiga individu di Lukut, Port Dickson, hujung tahun lalu.
Tertuduh, A Yogentheran, 31, A. Kugentheran, 26, A. Sinielkumar, 24, A. Shelan, 27, K. Muniswaran, 21, dan S. Sathia Moorthy 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, N. Kanageswari.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada tiga lelaki berusia 30 hingga 36 tahun dengan menetak mereka menggunakan parang di hadapan sebuah restoran kira-kira pukul 8.05 malam pada 27 Disember tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusppa, manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishna Raja dan peguam S. Kartikeyan.
Hakim menetapkan wang jaminan RM8,000 untuk setiap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mac ini.
Di Mahkamah Majistret Port Dickson pula, kesemua tertuduh turut berdepan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat terhadap harta benda dengan sengaja melanggar dan memecahkan cermin sebuah kereta Honda Accord sehingga menyebabkan mangsa rugi lebih RM20,200.- KOSMO! ONLINE














