fbpx
FARAH menangguh pembedahan membuang cyst susulan jadual kerja yang padat termasuk misi kemanusiaan disertainya.

Farah Lee akan jalani pembedahan buang cyst, misi kemanusiaan tetap ‘jalan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee bakal menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan sista atau cyst yang dihidapinya sejak dua tahun lalu selepas hari raya Aidilfitri April depan.

Menurut Farah atau nama sebenar Nurfarahin Romli, keputusannya menangguh pembedahan tersebut adalah selepas doktor memaklumkan cyst yang dialami tidak membahayakan kesihatan meskipun saiznya semakin membesar.

“Saya tangguh rawatan sehingga selepas raya kerana mahu menyelesaikan beberapa misi kemanusiaan terlebih dahulu.

“Memang ada salah satu cyst yang semakin membesar, namun saya belum sempat menjalani pembedahan tetapi syukur tak membahayakan kesihatan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Voice of Hind Rajab baru-baru ini.

Kongsinya, kurang rehat sehingga hormon dalam badan menjadi tidak seimbang sekali gus mengakibatkan pertumbuhan aktif cyst dalam badannya.

“Sebenarnya sudah lebih dua tahun cuma ketika itu saiz tidak begitu besar tetapi akhir-akhir ini kesihatan saya tidak berapa baik dan hormon juga tidak seimbang sebab jadual yang padat.

“Ini juga termasuk faktor sindrom pascatrauma misi kemanusiaan yang juga menjadi antara sebab cyst dalam badan saya membesar dengan cepat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia juga bakal ‘terbang’ ke beberapa negara termasuk Indonesia, Laos, Syria dan Afghanistan bagi menghulurkan bantuan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya iaitu Childrity.

“Insya-Allah saya akan ke Aceh, Indonesia, bagi menyertai misi bantuan banjir di sana yang kita sedia maklum keadaannya sangat teruk dan bantuan amat terhad.

“Beberapa hari selepas pulang, saya akan ke Laos pula bagi membantu komuniti Muslim di sana. Sepanjang Ramadan ini, saya memang tidak berada di Malaysia kerana akan ke Syria dan Afghanistan,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI